Friday, December 16, 2011

Sehidup Semati

2011 tahun yang takkan aku lupakan. Banyak perkara-perkara yang terjadi di sepanjang tahun ini. Cukuplah sekadar aku menyambut tahun baru 2011 yang lalu dalam wad hospital 'separuh kritikal'. Ditambah pula dengan adik aku juga bermalam di wad hospital kerana 'chicken pox'nya. Namun yang paling tak akan ku lupa adalah permergian dua insan tersayang dalam hidup ku berikut-ikut.


Atuk meninggal pada 21 Ogos 2011 di ketika semua umat Islam sedang sibuk menyiapkan persiapan Aidil Fitri. Suatu pemergian yang tak disangka-sangka. Aku bernasib baik kerana sehari sebelum hari arwah meninggal, aku dan ibuku telah pulang ke kampung untuk mengemas dan membersihkan rumah arwah atuk. Pada esoknya, selepas sahaja kami selesai berbuka puasa kami menerima panggilan dari saudara di kampung mengatakan atuk dah meninggal dunia.


Tinggallah nenek seorang diri dan kami bersepakat untuk membawa nenek tinggal bersama kami. Memang dah lama ajak atuk dan nenek tinggal bersama kami namun mereka tetap berkeras tidak mahu meninggalkan rumah di kampung.


Namun, ku sangkakan panas rupanya hujan di tengah hari. Cukup dua bulan selepas pemergian atuk, nenek pula menyahut seruan Ilahi. Kami pasrah dengan ketentuan-Nya walau dalam hati sedih dan pilu menyelubungi. Nenek meninggal setelah 3 hari mengalami koma. Arwah nenek telah koma di rumahku sebelum itu. Sempat juga kami membawa arwah ke hospital namun segalanya telah terlambat. Pihak hospital tidak dapat berbuat apa-apa kerana komplikasi yang dialami nenek telah lama berlaku. Doktor pakar telah mengesahkan bahawa berlaku pendarahan di dalam otak dan diikuti juga dengan jangkitan kuman pada hati. Doktor menegaskan komplikasi ini telah lama terjadi dan sudah terlambat untuk diselamatkan.


Rasa bagai nak gugur jantung aku bila mendapat perkhabaran itu. Aku tak mampu berkata apa-apa selain menangis di situ juga. Lemah seluruh badan ku rasakan. Akhirnya kami sepakat untuk membawa nenek pulang ke kampung. Kami tahu nenek rindukan rumahnya kerana sehari sebelum nenek koma, ibuku ada bertanya kepadanya samaada ingin pulang ke kampung dan arwah hanya mengerdipkan mata sambil menitiskan air matanya bila ditanya ibu. Doktor juga menyarankan kepada kami agar membawa nenek pulang kerana sudah tiada apa lagi yang boleh dilakukan.


Dan selepas dua hari koma, di hari ketiga sejurus selepas kami dan saudara-mara selesai mengerjakan solat hajat maka pergilah nenek buat selamanya. Nenek menyahut seruan Ilahi di waktu dan tarikh yang sama dengan arwah atuk. Suasana pilu menyelubungi rumah di kampung. Kami pasrah dengan ketentuan-Nya.


Kini, semuanya tinggal kenangan.


Selalunya, bila tiba cukup bulan atuk akan menelefon kami berpesan supaya ambilkan gajinya (pencen). Memang dah jadi rutin harian kami sekeluarga untuk pulang menghantar duit pencen sekaligus membawanya keluar membeli barang dapur. Dalam sebulan tu, boleh kata hampir setiap minggu jugaklah kami pulang ke kampung. Lagipun bukannya jauh sangat, nun kat Bota Kanan jer. Tapi kini, semuanya dah tiada. Masih lagi terngiang-ngiang di telinga rasa macam atuk telefon jer. Kadang-kadang aku menangis sendirian.


Bila terpandangkan tongkat dan 'wheelchair', aku tak mampu dari menahankan air mata kerana teringatkan nenek. Aku masih ingat lagi masa aku bersunat dulu, neneklah yang menjaga dan membersihkan segala lukaku. Banyak jasa atuk dan nenek pada cucu-cucunya.


Rasa macam baru semalam atuk dan nenek pergi meninggalkan kami. Atuk dan nenek memang pasangan yang setia dan amat kasih akan satu sama lain. Mereka adalah pasangan yang tak boleh dipisahkan. Mungkin inillah yang sering dikatakan sebagai sehidup dan semati.


Tak tahu bagaimana untuk aku tamatkan 'entry' ini sebenarnya. Yang pasti, aku amat rindukan mereka. Yang tinggal kini hanya gambar dan kenangan.


Sehidup dan semati...


p/s : maaf, entry kali ni sedikit emosional. inilah antara penyebab kenapa saya lama tak menulis.

1 comment:

  1. innalillah... setiap yang hidup pasti akan mati.

    ReplyDelete

leave your comment or leave this site!!